Islamic Widget

Wednesday, June 16, 2010

FIRASATNYA TEPAT WP BELIAU BUTA petikan Kisah Pelik Tapi Benar Dari Majalah Solusi

Amirul Mukminin tidak berhak memulangkan kuda dalam keadaan tempang ! Tuan mengambilnya dalam seadaan baik, maka seharusnya dikembalikan dalam keadaan baik pula ! Demikianlah dengan jelas dan penuh keyakinan seorang tabi’iy yang mulia membuat keputusan dalam perselisihan melibatkan khalifah Islam yang berpengaruh Umar al-Khattab r.a dengan seorang awam.Kes ini terjadi apabila kuda yang dibeli oleh khalifah menjadi tempang setelah digunakan.Tabi’iy yang dimaksudkan adalah seorang lelaki cerdik berakhlak mulia dari keturunan Yaman, dari kabilah al-Kindah, Syuraih bin al-Haris.Beliau yang tidak pernah dikenali sebelum itu di kalangan penduduk Madinah yang terdiri dari kalangan sahabat dan tabi’in yang hebat kini membuat keputusan yang membingungkan khalifah.Meskipun beliau tidak berkesempatan bertemu dnegan Nabi s.a.w namun keikhlasannya memeluk Islam disertakan dengan pengalamannya berada di zaman jahiliyyah sebelumnya menjadikan beliau seorang yang sangat memahami selok belok dan asam garam kehidupan.
Kebijaksanaannya mengendalikan kes yang rumit itu telah menjadikannya masyhur, sehinggalah Umar r.a melantiknya menjadi hakim Negara Kufah yang merupakan salah satu wilayah besar Negara Islam yang beribunegarakan Madinah.Ternyata pemilihan Umar r.a itu merupakan firasat yang tepat apabila semua khalifah yang datang selepasnya hingga ke zaman permulaan Bani Umayyah, Mu’awiyah r.a terus mengekalkan Syuraih r.a sebagai hakim tertinggi mahkamah.Beliau diamanahkan jawatan itu selama lebih kurang enam puluh tahun, memutuskan hukuman secara adil , tidak berat sebelah dan saksama.Tidak kurang pula keputusan yang dibuat itu menyebelahi orang awam, sekalipun pedakwanya adalah orang bangsawan yang mempunyai kedudukan mulia.Antara kes yang turut mendapat perhatian dunia hingga ke hari ini adalah dakwaan khalifah Islam ke empat, Ali bin Abi Talib r.a terhadap seorang yahudi yang didakwa mengambil baju besinya yang keciciran darinya.Apabila kes itu diadili, Syuraih dengan emah lembutnya telah mengatakan : Wahai Amirul Mukminin ! saya meyakini bahawa Amirul Mukminin tidak akan berbohong.Namun kehakiman Islam menetapkan setiap pendakwa agar mengemukakan dua orang saksi.Ali r.a menyahut ya , bersama saya Qanbar , pembantu saya dan al-Hasan , putera saya sebagai saksi.Jawab Syuraih, maaf Amirul Mukminin, Islam tidak mebenarkan anak sebagai saksi ! Khalifah islam itu hanya mampu bertasbih dengan Subhanallah mendengar jawapan ringkas tetapi bermakna itu.Bukankah semua orang memaklumi bahawa al-Hasan dan a-Husin r.a telah dinobatkan sebagai ketua pemuda ahli syurga di akhirat kelak..Apakah orang berilmu seperti Syuraih tidak mengetahui hakikat ini atau dia mempunyai kepentingan tertentu? Tidak, sama sekali tidak kerana hukum yang telah ditetapkan Allah dan NabiNya adalah suatu yang tidak boleh diubah sesuka hati.Walaupun ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah disepakati oleh semua umat Islam tetapi perjalanan pentadbiran di dunia mestilah berdiri di atas kaedah-kaedah yang digariskan.Persaksian dalam Islam tidak boleh disokong oleh kaum keluarga, bagi mengelakkan conflict of interest.
Ali bin Abi Talib r.a yang menjawat jawatan tertinggi dalam Negara akur dengan keputusan hakim mahkamah kerana bagi beliau keputusan hakim perlu dihormati bukan untuk dipertikaikan.Di luar jangkauan para pemerhati, yahudi yang didakwa tadi akhirnya telah mendedahkan bahawa baju besi itu sememangnya milik Ali yang ditemuinya tercicir.Beliau akhirnya mengisytiharkan keislamannya di hadapan khalayak selepas melalui pengalaman peribadi yang membenarkan keadilan Islam bahawa tiada siapa yang akan teraniya di bawah naungan Islam.
Antara bukti lain ketelusannya lagi ialah pada suatu hari, seorang dari anak lelakinya meminta beliau membuat keputusan dalam perselisihannya dengan teman-temannya.Sebaik sahaja selesai menerangkan perkembangan sebenar perselisihan itu, Syuraih menyuruh anaknya memanggil teman-temannya itu.Setelah kedua pihak mebuat penjelasan masing-masing maka Syuraih telah memutuskan keputusan yang menyebelahi teman-teman anaknya.Keputusan yang telah menyebabkan anaknya merasa dirinya dipermaukan.Jawapan hakim yang mulia ini kepada anaknya ialah : Wahai anakku ! Demi sesungguhnya engkau lebih kusayangi dari dunia dan seisi kandungnya, namun keredhaan Allah lebih aku utamakan berbanding denganmu !
Lebih dari itu Syuraih pernah memenjarakan anak lelakinya sendiri apabila orang yang dijamin oleh anaknya itu melarikan diri.
Walaupun mempunyai jalan penyelesaian yang mengkagumkan semua pihak, namun Syuraih tidak dapat melarikan diri dari keraguan yang kadangkala menimpanya dalam keputusan-keputusan yang dibuat.Apabila menghadapi kerumitan seperti itu beliau akan menyerahkan urusannya kepada Allah dan kepada pihak yang berselisih dengan katanya : sesungguhnya orang yang membuat keputusan ini hanyalah manusia seperti kamu semua.Aku mebuat keputusan ini untuk menyelamatkan kamu dari neraka Allah.Jika aku yang tidak terlibat melakukan kesalahan yang dibawa ke hadapan ini turut merasa takut hukuman Allah di akhirat, maka kamu sepatutnya lebih merasa bimbang jika kes ini dibuka semula di makhkamah akhirat nanti.
Apabila pihak saksi terus bertegas agar dijatuhkan hukuman kepada seseorang yang dituduh sedangkan Syuraih merasai sesuatu kekaburan pada kes, maka beliau akan mengingatkan pendakwa dan tertuduh dnegan katanya : Aku menghukum berdasarkan bukti dan saksi, bukannya dengan sangkaan.Namun kamu semua harus ingat bahawa ketetapan ini tetap tidak menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.Ingatannya yang sering dihebahkan kepada setiap pihak yang berbalah ialah : Kelak orang yang menzalimi orang lain akan tahu siapakah sebenarnya yang rugi.Orang yang zalim kepada orang lain sedang menunggu hukuman Allah terhadapnya.Orang yang dizalimi menunggu pembelaan dariNya.
Syuraih juga turut dikenali dengan nasihat-nasihat ikhlasnya kepada umat Islam.Antara contohnya ialah cerita seorang lelaki yang telah dinasihati Syuraih.Lelaki ini sering menceritakan masalah peribadinya kepada orang lain sehingga didengari Syuraih.Syuraih mengingatkannya : Saudaraku ! setiap orang yang kita temui adalah merupakan orang yang menyayangi kita atau musuh kita.Jika kita menceritakan kesusahan kita pada orang yang kita sayangi, mereka akan merasa sedih.Sebaliknya apabila kita menceritakan problem kita pada musuh kita, mereka akan gembira.Saudaraku! ketahuilah olehmu! Beliau enunjukkan sebelah dari matanya kepada beliau seraya berkata, mataku ini sudah tidak berfungsi sejak lima belas tahun yang lalu.Aku tidak dapat melihat manusia dan jalan serta segala benda lain dalam tempoh itu.Alhamdulillah aku tidak memberitahu sesiapapun tentangnya melainkan kepadamu, agar kau mengambil pengajaran ! Kau tentu pernah membaca firman Allah dalam surah Yusuf ayat ke 86 yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah …..
Maka jadikanlah Allah tempat pengaduanmu dalam menghadapi tekanan dan kesusahan hidup.Dia lebih menyayangimu dan dapat membantumu.
Semuga Allah merahmati khalifah Islam ke dua, Umar al-Faruq r.a, yang dengan firasatnya yang benar itu, lahir seorang hakim Islam yang hebat yang telah menjadi batu asas kepada kesempurnaan pembentukan system perlaksanaan undang-undang dan mahkamah Islam.

Papa.......Bacakan cerita ini....

MALAM itu saya benar-benar sibuk. Selepas solat Isyak dan menikmati hidangan, saya terus ke meja tulis - mahu menyiapkan kertas kerja yang akan saya bentangkan pada
mesyuarat tiga hari akan datang.

Baru nak mula, anak tunggal saya, Sarena, 6, tiba-tiba datang menghampiri. Dia membawa sebuah buku. Saya kerling, nampak dia tersengih-sengih manja. Begitulah dia, kalau ada sesuatu yang dimahukannya, dia akan bersikap terlalu manja.

"Papa... bacakan cerita ni. Bagus tau! Cerita pari-pari, Ina nak dengar," kata Sarena menghulurkan buku bergambar itu pada saya.
"Buku baru ya?" saya bertanya basa-basi tanpa menoleh, sekadar melayan. Sarena mengangguk lantas memberitahu buku itu dibeli ibunya pagi tadi.
"Papa sibuk... lain kali boleh tak?" saya memujuk. Sarena memuncung, memperjelaskan rasa kecewanya. Tapi saya benar-benar sibuk.
"Bolehlah papa... sekejap aja. Ceritanya sedap..." rengek Sarena enggan mengalah.
"Kan papa kata sibuk! Suruh mama baca..."
"Mama basuh pinggan. Aiaaaa... bacalah, papa!" Sarena merengek sambil menghentak-hentak kaki ke lantai. Nyata dia tak mudah mengalah.
"BUDAK INIIII...!!! Tak reti bahasa ke. Pergi sana!!!" saya jerkah permata hati saya itu. Sarena panik.



Dia terperanjat sungguh kerana tak menyangka saya bertindak sejauh itu. Nampak jelas matanya sedikit berkaca, lalu dia beredar sayu.
Dalam nada sebak, dengan muka yang sebek, Sarena beredar sambil menoleh ke arah saya. Dalam suara tersekat-sekat dia bersuara: "Nanti papa bacakan kuat-kuat cerita ini kat Ina, ya papa!"
Saya hanya memandang tajam ke arahnya. Sebaik tiba di pintu bilik dia menjeling saya, kali ini saya mengangguk.

Masa terus berlalu... seminggu, dua minggu namun kesibukan saya bertambah. Setiap kali pulang, Sarena tidak merengek minta dibacakan cerita pari-pari itu, namun tangannya tak lepas memegang buku itu. Mungkin juga dia faham saya terlalu sibuk.
Pagi minggu berikutnya sedang saya, isteri dan Sarena menik-mati sarapan bersama,. saya perhatikan buku itu masih dipegang-nya.

"Mama dah baca, seronok papa," kata Sarena. Saya mengangguk sambil tersenyum. "Bila papa nak bacakan?" riba-tiba Sarena bertanya.
"Mama dah baca, okeylah tu!" balas saya. Nampak wajahnya terkuncam. Saya terus menyuap makanan.
"Mama baca perlahan. Nanti papa bacakan kuat-kuat ya!" katanya. Saya mengangguk.

Selesai makan, saya capai akhbar. Lembar demi lembar saya tatapi. Tidak terfikir untuk menunaikan impian Sarena. Tiba-tiba terdengar bunyi suatu dentuman yang cukup kuat di luar.
Konsentrasi saya cuma terganggu sekctika, sebelum kembali memusatkan perhatian ke dada akhbar. Tiba-tiba pintu pagar rumah digegar. Saya segera menjenguk. Jiran-jiran menjerit-jerit mengatakan Sarena dilanggar kereta. Saya panik. Sempat berfikir, bila masa pula dia keluar, tadi ada kat dapur!
Saya memekik memanggil isteri sebelum meluru ke lokasi kemalangan. Sesungguhnya khabar itu benar, Sarena terkulai diribaan seorang jiran yang sedang memberi bantuan. Saya terus pangku anak saya, masuk ke kereta jiran yang sedia memccut ke hospital.

Darah membasahi pakaian Sarena. Nafasnya sesak. Isteri meraung sekuat hatinya.
"Ina...! Inaaaa...!! Inaaaaaa!!!" saya memanggil-manggil perlahan namanya di pangkal telinga Sarena yang berada dalam pangkuan. Tatkala itu nafasnya tersekat-sekat.
"Papa... mama... Ina takut. Ina sayang papa... Ina sayang mama, Ina tak nak mati!" bersuara Sarena antara dengar dan tidak sambil cuba membuka matanya yang dipenuhi darah. Saya kesat darah itu dengan tisu, namun sekadar cuma.. Darah kembali memenuhi wajahnya.
Tangisan kuat isteri saya membuatkan jiran yang memandu terus memecut. Di hospital, Sarena ditempatkan di bilik ICU ekoran keparahan cederanya.

Masuk hari kedua, keadaan Sarena tak berubah. Dia masih tak sedarkan diri dan terpaksa bernafas menggunakan respirator.
Itulah saatnya saya merasa cukup bersalah, lalu petang itu, saya bacakan cerita pari-pari dalam suara yang kuat tetapi tersekat-sekat di sisi katil Sarena. Semakin kuat saya membaca, semakin merumbai air mata. Kekesalan berlabuh, tapi segalanya telah musnah.

Mungkin Sarena tak dapat mendengar jalan cerita yang sangat diminatinya itu.
Keesokan harinya, saya bacakan sekali lagi, masih dalam nada suara yang kuat. Kemudian setiap hari saya bacakan cerita itu di telinga Sarena, sementara isteri saya tak henti-henti menangis. Dia mungkin terlalu marah dan kesal dengan tindakan saya ter-hadap Sarena sejak seminggu lalu.

Masuk hari ketujuh, sebaik saya mula membaca, Sarena tiba-tiba membuka matanya perlahan-lahan. Saya nampak terlalu sukar untuk dia melakukannya.
Bacaan saya terhenti. Air mata merembes dan saya usap-usap kepalanya. Beberapa ketika kemudian, Sarena memejamkan semula matanya - pejam buat selama-lamanya. Saya seperti terdengar suara Sarena mengucapkan terima kasih kerana membacakan cerita itu padanya.

"Papaaaa... nanti papa bacakan cerita ini kuat-kuat pada Ina ya..." kata-kata Sarena terngiang-ngiang di telinga saya hingga ke hari ini, walaupun setahun telah berlalu
Hingga kini saya masih tertanya-tanya, apakah sedikit perhatian yang diperlukan oleh seorang anak terlalu mahal untuk diberikan oleh seorang lelaki yang bergelar ayah?

Saya tidak dapat menjawab, selain air mata yang tumpah.

- BAPA KECEWA